1) Menuntut Kemerdekaan 
Sebagai orang nombor dua kepada Tunku, beliau turut membuat draf-draf untuk dimuatkan dalam Perlembagaan Tanah Melayu dan menyertai rombongan menuntut Kemerdekaan ke London pada tahun 1956.

2) Dasar Pendidikan
Sebagai Menteri Pelajaran yang pertama, beliau telah melahirkan Penyata Razak 1956 bertujuan menyatupadukan rakyat berbagai kaum. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan penyata ini adalah mendukung bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Dengan menggunakan perantaraan Bahasa Kebangsaan dan kandungan pelajaran yang sama di semua sekolah, semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid dari berbagai kaum dapat disemai. Semangat dasar pelajaran inilah yang menjadi asas mewujudkan generasi muda yang sihat dan berpelajaran sebagai sumber tenaga pembangunan. 

3) Pembangunan Luar Bandar
Tun Razak menganggap apa yang penting dalam sistem demokrasi ialah keseimbangan sosial dan ekonomi di mana semua rakyat dapat memainkan peranan dalam kemajuan negara. Maka beliau telah mewujudkan satu gerakan pembangunan luar bandar dengan merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap aspek keperluan negara. Ini dikenali sebagai Buku Merah yang dilengkapi dengan Bilik Gerakan yang mencatatkan butir-butir rancangan setiap daerah termasuk segala kemajuan dan kegagalan rancangan-rancangan tersebut. Melalui usaha ini maka terbentuknya pelbagai agensi Kerajaan untuk mencapai matlamat itu termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Negeri-Negeri.

4) Membangunkan Ekonomi Bumiputera
Di waktu Tun jugalah melihat penyertaan orang-orang Melayu dan bumiputera secara lebih pesat dalam perniagaan khasnya dengan penubuhan agensi-agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), PERNAS dan lain-lain hasil dari cadangan-cadangan oleh Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputra yang diadakan. Segala bentuk pembangunan yang dinikmati oleh rakyat masa kini adalah sebahagian besarnya atas daya usaha dan kemahuan tegas dari Tun Abdul Razak.

5) 13 Mei dan Pembentukan Rukun Negara
Setelah pilihan raya Mei 1969, satu bencana perkauman telah meletus di Kuala Lumpur yang dikenali Peristiwa 13 Mei di mana kaum Melayu dan Cina telah berselisih faham sehingga mengorbankan nyawa. Keadaan darurat telah diisytiharkan dan negara diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak yang memerintah secara decree. Sebagai Pengarah MAGERAN, Tun Razak berjaya memulihkan keamanan, memupuk keharmonian dan muhibbah dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan. Hasil dari perbincangan-perbincangan dalam Majis Perundingan Negara, maka lahirlah Rukun Negara, iaitu prinsip-prinsip yang menjadi kunci perdamaian antara kaum dan bertujuan mencapai kemajuan bangsa dan negara. 

6) Dasar Ekonomi Baru (DEB)
Pada pertengahan tahun 1970, Dasar Ekonomi Baru yang begitu bermakna telah diperkenalkan. Implikasi dasar ini terletak pada matlamatnya yang berbentuk serampang dua mata -- menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum melalui kegiatan ekonomi. Wujudnya DEB dan Rukun Negara telah memberi satu dorongan dan semangat baru kepada rakyat untuk maju setapak lagi ke depan dalam perjuangan mereka ke arah memupuk kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Pada masa yang sama, peristiwa 13 Mei semakin dilupakan dan sehingga hari ini, Malaysia terus makmur dengan keseimbangan dalam segala hal di antara semua kaum.

7) Pembentukan Barisan Nasional
Selepas kegiatan politik dipulihkan pada tahun 1971, Tun Razak telah menubuhkan beberapa biro di bawah UMNO bagi mengukuhkan lagi parti itu. Dalam masa yang sama juga, parti-parti politik telah digabungkan di bawah satu bumbung -- Barisan Nasional (BN) pada 1974. Dengan pembentukan BN, Tun Razak berjaya menukarkan politik konfrantasi di negara ini kepada politik akomodasi dan dialog. Sehingga kini BN bukan saja dianggotai oleh parti MCA dan MIC tetapi juga meliputi parti-parti dari kalangan pelbagai kaum khususnya dari Sabah dan Sarawak.

8) Dasar Kebudayaan Nasional 
Dalam tahun 1971 yang bersejarah itu juga, dasar kebudayaan nasional telah diperkenalkan oleh Tun Razak. Kebudayaan ini adalah berteraskan unsur-unsur tempatan rantau ini, Islam dan unsur-unsur yang sesuai dari kebudayaan-kebudayaan lain. Beliau juga telah mewujudkan Hadiah Sastera untuk karya-karya yang bermutu dalam bidang kesusasteraan.

 

 
Tun Razak (tengah) mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional selepas ditubuhkan pada 1974 - Gambar Utusan

 
Tun Razak berbual mesra dengan pemimpin-pemimpin dari Persatuan Cina Malaysia (MCA) dalam satu pertemuan. - Gambar Utusan

 
Tun Razak berbincang sesuatu dengan para pemimpin Kongres India Malaysia (MIC) - Gambar Utusan;

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Sumber:  -  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) 
                -  Jabatan Perdana Menteri