ERA pemerintahan Tun Razak sebagai Perdana Menteri (1970 hingga 1976) boleh dianggap sebagai titik permulaan negara ke arah sebuah negara yang pesat membangun dari segi ekonomi, khususnya di kalangan bumiputera.
Walaupun ketika beliau memimpin negara ini telah tercetusnya satu rusuhan berdarah yang melibatkan kaum Melayu dan Cina pada 13 Mei 1969, tetapi atas ketegasan, kebijaksanaan dan kesabaran beliau, akhirnya sengketa itu dapat diredakan.
Malahan beliau berjaya mengukuhkan kembali hubungan antara kaum di negara ini melalui pelbagai idea dan gagasan serta dasar yang diperkenalkan.
Beliau menyedari punca utama berlakunya konflik tersebut adalah akibat rasa tidak puas hati di kalangan kaum Melayu terhadap kaum lain yang lebih berjaya. Oleh sebab itu dasar-dasar yang diperkenalkan itu banyak melibatkan usaha menyamaratakan kekayaan antara semua kaum di negara ini. Pelbagai lang- kah diambil untuk membolehkan kaum Melayu maju dalam perniagaan.
Dasar Ekonomi Baru (DEB), pembentukan Barisan Nasional serta pengwujudan Rukun Negara adalah antara beberapa langkah yang berjaya menjadikan seluruh rakyat di negara ini hidup aman makmur sehingga ke hari ini. Malahan kaum Melayu terus maju dan menyamai taraf ekonomi kaum Cina dan India.
Tun Razak merupakan Perdana Menteri yang banyak membentuk negara ini ke arah sebuah negara yang maju dalam segala bidang, khususnya dari segi ekonomi dan sosial. Hasil usaha dan kejayaan itulah beliau digelar Bapa Pembangunan Malaysia.
Dasar-dasar yang diperkenalkan itu bukan saja diteruskan oleh para pemimpin lain selepasnya, malahan masih diterima pakai sehingga ke hari ini.

 
Tun Razak mengadakan pertemuan dengan rakyat bagi meredakan ketegangan kaum yang tercetus pada Mei 1969 - Gambar Utusan

"Tiga belas tahun semenjak Merdeka, jika diibaratkan sebuah rumah, kita telah mendirikan rangka, tiang, atap dan lantai. Sekarang kita mestilah mengadakan dinding dan perkakas-perkakas yang lain supaya rumah itu dapat menurut bentuk dan rupa yang kita benar-benar kehendaki."
- Tun Razak, September 1970