1) Menyatupadukan Kaum
Salah satu tugas penting bagi Tunku selepas di lantik sebagai Perdana Menteri ialah menyatupadukan tiga kaum terbesar di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India. Pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 telah berjaya menghasilkan satu pakatan antara UMNO yang mewakili Melayu dan MCA bagi kuam Cina yang masing-masing meletakkan calon di kawasan berasingan.
Hasilnya perikatan UMNO-MCA berjaya dalam pilihan raya itu. Pada pilihan raya 1955, MIC yang mewakili kaum India pula menyertai gabungan itu yang kemudiannya dinamakan Perikatan. Perpaduan antara tiga kaum ini memudahkan lagi proses menuntut kemerdekaan daripada penjajahan British. Hasil usaha yang dilakukan oleh Tunku itu bukan saja meyakinkan British untuk menyerahkan negara kepada rakyat sendiri tetapi juga menjadikan Malaysia terus maju dan bersatu sehingga ke hari ini. Manakala parti Perikatan telah digantikan dengan nama Barisan Nasional oleh Tun Abdul Razak pada 1974 dengan UMNO, MCA dan MIC menjadi satu parti komponen utama. Jumlahnya terus bertambah dari masa ke semasa sehingga sekarang.

2) Menuntut Kemerdekaan
Selepas berjaya menyatukan tiga kaum terbesar dalam satu parti Perikatan, tiba pula langkah untuk menuntut kemerdekaan. Rombongan pertama Perikatan ke London telah dibuat pada tahun 1954 tetapi gagal. Selepas memenangi pilihan raya Persekutuan pada 1955, rombongan yang diketuai oleh Tunku sekali lagi ke London dan akhirnya tuntutan itu dipersetujui oleh pihak British. Pengumuman mengenai persetujuan kemerdekaan Tanah Melayu oleh British itu disampaikan oleh Tunku sendiri di Bandar Hilir Melaka pada 1965. Dan kemerdekaan Tanah Melayu akhirnya diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

3) Rancangan Malaya Pertama
Sebagai langkah awal ke arah sebuah negara merdeka, Tunku bersama-sama rakan-rakan dari MCA dan MIC telah mewujudkan program pembangunan ekonomi yang dinamakan Rancangan Malaya Pertama pada 1956 bertujuan mengisikan kemerdekaan dengan pembangunan. Rancangan Malaysia yang diadakan setiap lima tahun sekali itu diteruskan oleh para pemimpin selepasnya sehinggalah ke hari ini.

4) Penubuhan Malaysia 
Pada September 1963, wilayah negara telah diperluaskan dengan penubuhan Malaysia yang mengikut cadangan Tunku supaya semua negeri-negeri di bawah pemerintahan British di Asia Tenggara digabungkan ke dalam sebuah Persekutuan bersama-sama dengan Malaya. Bagaimanapun, langkah Tunku ini mendapat tentangan hebat daripada Indonesia sehingga tercetusnya konfrantasi antara kedua-dua negara berjiran ini. Namun usaha tersebut tetap diteruskan dan akhirnya terbentuklah negara Malaysia yang menggabungkan keempat-empat wilayah itu iaitu Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Sarawak serta Sabah. Atas jasanya itulah, Tunku diberi gelaran Bapa Malaysia. Bagai manapun, pada 1965 Singapura mengambil keputusan untuk berdiri sebagai negara sendiri selepas berlaku konflik antara kedua-dua pihak.


 
Tunku mengisytiharkan kemerdekaan negara di Melaka selepas kembali dari London pada 1956. - Gambar Utusan

 
Tunku menandatangani surat pengesahan kemerdekaan disaksikan oleh wakil kerajaan British - Gambar Utusan

 
Tunku (kiri) dan T.H. Tan mengadakan perbincangan dengan Lord Ogmone, Ahli Dewan Persatuan British di London - Gambar UMNO

 
 
 
 
 

 

Sumber:  -  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) 
                -  Jabatan Perdana Menteri