JIKA Tun Abdul Razak dianggap sebagai Perdana Menteri yang membawa kaum Melayu dan bumiputera keluar dari kemiskinan dan ketinggalan dengan kaum lain, Dr. Mahathir (1981 hingga sekarang) boleh dikatakan membawa negara ke arah kemajuan di segala bidang.
Dr. Mahathir telah berjaya menjadikan Malaysia ke arah kemodenan dan kemajuan. Cita-cita beliau untuk melihat Malaysia setaraf dengan negara maju dari segi pembangunan dan kehidupan rakyat.
Bapa Pemodenan Malaysia ini banyak membawa dasar-dasar yang merintis ke arah negara maju berdasarkan Wawasan 2020, iaitu dasar untuk meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.
Dasar pandang ke Timur, dasar pembangunan negara, penswastaan dan lain-lain adalah antara dasar ke arah matlkamat itu.
Bagi mencetuskan semangat bahawa rakyat Malaysia berkeupayaan menandingi bangsa-bangsa lain, melalui slogan Malaysia Boleh! ternyata membawa satu semangat baru bagi seluruh rakyat dari pelbagai kaum untuk memajukan diri.
Hasilnya, Malaysia kini bertukar dari sebuah negara yang bergantung kepada hasil pertanian menjadi sebuah negara industri serta berteknologi.
Kereta buatan Malaysia - Proton, pembangunan Koridor Raya Multimedia, perkembangan industri berat dan lain-lain adalah bukti kejayaan keberkesanan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Keempat ini.
Malaysia juga kini boleh bermegah kerana banyaknya mercu tanda kejayaan pembangunan negara seperti Menara Kembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Litar F1 di Sepang dan lain-lain. Semua ini membuktikan bahawa Malaysia kini ke arah negara maju setanding dengan negara-negara maju lain. 
Begitu juga dari segi pencapaian individu rakyat seperti penaklukan puncak Everest, mengelilingi dunia secara solo dengan perahu layar, menjejakkan kaki di Kutub Utara dan lain-lain bertolak dari dasar dan semangat yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir.
Pencapaian ekonomi negara juga dianggap antara yang terbaik di rantau ini dan dunia termasuk kejayaan beliau mengatasi kegawatan ekonomi pada pertengahan 1997 hingga 1998 lalu. Kini Malaysia semakin pulih dan pemulihan ekonomi negara adalah kerana kebijaksanaan dan ketegasan Dr. Mahathir.

 


 
Pejabat Perdana Menteri dan Masjid Putra (kanan) di Putrajaya yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir menjadi salah satu mercu tanda kemegahan Malaysia, - Gambar Utusan

 
Dr. Mahathir sering menjadi tumpuan termasuk kanak-kanak setiap kali beliau turun menemui rakyat jelata - Gambar Potret Mahathir