1) Dasar Pendidikan Tinggi
Sebagai Menteri Pelajaran mulai 1974, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Penubuhan Universiti Utara Malaysia iaitu universiti keenam di Malaysia juga adalah atas usaha beliau.

2) Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam
Penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir bertujuan membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat lain; menubuhkan sebuah 'negara bahagia', menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan serta menghasilkan perkhidmatan yang bermutu. Bertolak dari dasar ini juga lahirnya usaha-usaha lain termasuklah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa, penubuhan institusi kewangan bercorak Islam seperti Bank Islam dan Syarikat Takaful iaitu syarikat insurans yang bercorak Islam. Begitu juga Undang-undang Keluarga Islam telah mula dijalankan di beberapa buah negeri di Malaysia. Ini merupakan langkah-langkah besar yang memberi kesan ke atas masyarakat Islam di Malaysia, malah menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain dalam menghadapi tuntutan-tuntutan hidup zaman moden.

3) Bersih, Cekap dan Amanah
Pada pertengahan April 1982, Dr. Mahathir telah melancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar bagi di- jadikan amalan kepada semua golongan di negara ini. Dasar ini dilancarkan berasaskan hakikat bahawa pembangunan dan kejayaan sesebuah negara bergantung antara lain kepada nilai-nilai hidup dan etika kerja yang positif di kalangan pekerja-pekerjanya. Oleh itu, nilai-nilai ini harus ditanamkan di jiwa semua pekerja dan rakyat. Objektif utama dasar ini adalah mewujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkatan produktiviti dan mutu.

4) Kepimpinan Melalui Teladan
Pada 19 Mac 1983, konsep Kepimpinan Melalui Teladan diperkenalkan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam dan memupuk sifat-sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi, dihayati dan diamalkan oleh segenap lapisan anggota Kerajaan Malaysia. Matlamat kempen ini pula adalah untuk meningkatkan produktiviti dan mengamalkan perkhidmatan yang Bersih, Cekap dan Amanah. Kepimpinan Melalui Teladan adalah satu dasar yang bertujuan mengubah sikap untuk mencapai dan memperkukuhkan nilai-nilai bagi mempertingkatkan etika kerja dan daya pengeluaran negara. Ia selaras, seimbang den berdamping dengan dasar-dasar lain seperti Dasar Pandang Ke Timur, Bersih, Cekap dan Amanah dan Penerapan Nilai-nilai lslam Dalam Pentadbiran.

5) Dasar Pandang Ke Timur
Dasar ini telah diumumkan oleh Dr. Mahathir pada 8 Februari 1982 ketika Persidangan Tahunan Kelima MAJECA/JAMECA di Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna pihak Kerajaan akan membu- at pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara-negara di Timur seperti Jepun dan Korea dan mengubahsuaikannya dengan keadaan di Malaysia. Jepun dan Korea adalah merupakan dua buah negara yang begitu berjaya membangun dengan pesatnya, malahan di beberapa bidang, mereka adalah lebih maju dari beberapa negara Barat sendiri. Objektif utama Dasar Pandang Ke Timur ini ialah untuk meninggikan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan golongan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai dan etika kerja yang positif untuk mempertingkatkan kemajuan negara. Dasar ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan perdagangannya dengan rakan-rakan yang sedia ada ataupun memberi keutamaan kepada import barang-barang dan perkhidmatan dari Jepun dan Korea. Kerajaan akan terus mengamalkan dasar perdagangan terbuka dengan semua negara kecuali Israel.

6) Dasar Persyarikatan dan Penswastaan
Sebagai seorang yang mempunyai visi, Dr. Mahathir percaya bahawa dengan sumber-sumbernya yang kaya Malaysia boleh dijadikan sebuah ekonomi yang moden dan setanding dengan negara-negara lain ke arah itu beliau telah melancarkan konsep Persyarikatan Malaysia dan penswastaan yang merupakan ciri-ciri perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur. Melalui konsep ini, syarikat swasta digalak mengembangkan perusahaan masing-masing bagi membawa keuntungan yang besar kepada negara dan faedah-faedahnya tersebar kepada rakyat. 

7) Dasar Perindustrian Negara
Dr. Mahathir memberi tumpuan khusus kepada perkembangan industri berat dengan mewujudkan Dasar Perindustrian Negara bertujuan menjadikan sektor perkilangan sebagai pemangkin pertumbuhan perindustrian negara, menggalakan penggunaan sepenuhnya sumber asli negara serta meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan serta memastikan teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian. Antara langkah yang diambil termasuk memajukan industri automotif tempatan melalui HICOM, pengeluaran besi waja melalui Perwaja dan lain-lain. Dengan usaha-usaha gigih Dr. Mahathir, Malaysia telah berjaya menghasilkan kereta nasionalnya sendiri dinamakan Proton Saga, yang menjadi satu kebanggaan seluruh rakyat serta membuka lambaran baru dalam bidang industri negara.

8) Wawasan 2020
Wawasan ini bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikat cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain. Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan (framework of action) bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur.

9) Dasar Pembangunan Nasional (DPN)
Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP-2) dari tahun 1991 hingga 2000 yang telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. DPN telah dilancarkan oleh  Dr. Mahathir pada 17 Jun 1991. Objektifnya ialah menjadikan perpaduan negara akan kekal sebagai matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatu padu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan langkah permulaan ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran Kerajaan dan kecemerlangan ekonomi. Seperti Dasar Ekonomi Baru, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi di antara golongan kaya dengan miskin dan juga di kalangan kaum etnik. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

10) Semangat Malaysia Boleh!
Malaysia Boleh! merupakan satu cetusan semangat yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Ia pada asalnya digunakan untuk meningkatkan semangat perjuangan para atlet negara di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 1989 bagi membuktikan bahawa Malaysia boleh melakukan apa sahaja seperti mana orang lain. Hasil daripada semangat Malaysia Boleh!, pencapaian para atlet negara sangat luar biasa dan menjadi negara pengumpul emas kedua terbanyak di kejohanan tersebut. Semangat tersebut kini bukan saja diterapkan dalam sukan malahan untuk segala bidang dan menjadi pendorong bagi seluruh rakyat tanpa mengira kaum. Semangat inilah yang menjadikan rakyat Malaysia mampu mencatatkan kejayaan di peringkat antarabangsa dalam segala bidang termasuk ekonomi. Berjaya menawan puncak Everest, mengelilingi dunia dengan perahu layar secara solo, kecemer- langan di Sukan Komanwel XX - KL98 dan lain-lain.

 

 
Dr. Mahathir melancarkan Proton Putra GTi pada 1998 hasil keluaran terbaru DRB Hicom. - Gambar Utusan.

 
Kejayaan termegah rakyat Malaysia... Dr. Mahathir menjulang tangan Datuk Azhar Mansor yang berjaya mengelilingi dunia secara solo menggunakan perahu layar pada 1999. - Gambar Utusan

 
Mahathir membonceng motorsikal ketika meninjau pembangunan di Langkawi, pada 1994 - Gambar Potret Mahathir

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Sumber:  -  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
                -  Jabatan Perdana Menteri